Home » , , » ATM Dan Tentara Darat Singapura Latihan Perang Bersama

ATM Dan Tentara Darat Singapura Latihan Perang Bersama

Written By Ifal Pawitikra on Senin, 19 November 2012 | 05.06

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Tentera Darat Singapura hari ini menyertai program Latihan Semangat Bersatu Siri 18/2012 bertujuan meningkatkan taktikal ketenteraan di peringkat batalion.

Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Seri Panglima Ahmad Hasbullah Mohd. Nawawi berkata, penganjuran program edisi ke-18 itu merupakan latihan bilateral yang dilaksanakan setiap tahun.

Beliau berkata, latihan bersama itu bertujuan menjalin hubungan yang lebih erat antara kedua-dua negara dan berkongsi pengetahuan serta pengalaman dalam kalangan pegawai dan anggota terlibat.

"Program itu yang bermula hari ini hingga 22 November ini akan melibatkan tiga lokasi utama iaitu di Kem Majidee Johor Bahru, kawasan am di Negeri Sembilan dan Pahang.

"Dalam masa sama, formasi tiga divisyen dibentuk ATM untuk mengendali dan melaksanakan latihan berkenaan melibatkan penyertaan seramai 923 pegawai dan anggota manakala Tentera Darat Singapura disertai 144 pegawai dan anggota," katanya ketika ditemui selepas merasmikan program tersebut di Kem Majidee, di sini semalam.

Turut hadir, Ketua Staf Am Tentera Darat Singapura, Brigedier Jeneral Tung Yui Fai.

Dalam pada itu, Ahmad Hasbullah memberitahu, program tersebut juga berperanan meningkatkan pengetahuan dan kerjasama ketika melaksanakan sesuatu operasi serta melatih pemerintah dan staf mengukuhkan kefahaman lebih jitu.

"Selain itu, latihan ini juga menguji kemampuan dan kesiapsiagaan pasukan kedua-dua negara bagi menghadapi ancaman di medan perang dan menilai kemahiran pegawai serta anggota terlibat dalam melaksanakan operasi ketenteraan mengikut teknik, taktik dan prosedur yang ditetapkan," katanya.
 
 
 
 
 
 
Sumber : Utusan

0 komentar:

Poskan Komentar

Pengupdate Berita Pertahanan